Kosong

Total: RM0.00

Cabaran mengajar di pedalaman

Cabaran mengajar di pedalaman

11/5/2017

Sempena sambutan Hari Guru 2017

Biarpun perlu membawa anak kecil seawal usia lima bulan tinggal bersamanya dan terpaksa berjauhan dengan suami, namun kekangan itu sedikitpun tidak mematahkan sema-ngat Nurul Majidah Zakaria, 26, untuk terus mencurahkan bakti demi memastikan murid di pedalaman Sarawak mendapat pembelaan pendidikan sewajarnya.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Merit itu, berkata sukar untuknya menggambarkan cabaran dan kepayahan yang terpaksa ditempuhinya saban hari, sebaliknya beliau terus optimis dan komited merealisasikan misi mendidik anak bangsa tempatan agar menjadi insan berjaya.

Nurul Majidah berkata, meskipun berdepan perbezaan sosiobudaya yang pelbagai terutama daripada aspek pertuturan harian, kesukaran itu mendorongnya untuk mempelajari bahasa komunikasi penduduk setempat, sekali gus dapat melancarkan proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di dalam bilik darjah.

“Walaupun murid di sini kurang pendedahan dengan gajet teknologi terkini seperti telefon bimbit dan tablet berinternet, mereka sangat menghargai setiap ilmu yang disampaikan, serta berdisiplin ting­gi, menghormati orang lebih dewasa dan kerap membuat latihan ulang kaji diberikan guru.

“Di samping pengajaran ha­­­rian di sekolah, saya juga mendapatkan sumber maklumat tambahan daripada Internet, selain turut membuat tempahan buku rujukan dari Semenanjung untuk diposkan ke sini, supaya mereka tidak ketinggalan dalam akademik,” katanya kepada BH.

Berkongsi pengalamannya yang sudah memasuki tahun ketiga me­ngajar di sekolah berkenaan, anak kelahiran Kulim, Kedah itu mengakui banyak pe­ngalaman mencabar yang terpaksa dilaluinya sepanjang tempoh itu.
Ini termasuk faktor keselamatan, jarak sekolah yang jauh dari bandar, kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan asas dan per­khidmatan perubatan.

Bertemu suami ketika cuti
“Saya perlu menaiki bot ekspres selama tiga jam dengan jarak 88 kilometer untuk sampai ke bandar Kapit bagi mendapatkan barangan keperluan harian atau untuk ke hospital, lebih-lebih lagi tempat ini hanya boleh dihubungi menerusi jalan air sahaja.

“Memandangkan saya mempunyai anak yang masih kecil, jadi untuk membawanya menjalani pemeriksaan kesihatan saya perlu menaiki perahu dari sekolah ini selama hampir lima belas minit untuk ke Klinik Kesihatan berdekatan yang berjarak lima kilometer,” katanya.

Guru subjek Bahasa Melayu yang mula berkhidmat sejak 2015 itu, berkata beliau hanya berjumpa suaminya Mohd Izzat Kamarudin, 27, yang juga guru di sebuah sekolah rendah di Daerah Limbang sewaktu cuti persekolahan iaitu apabila mereka pulang ke kampung halaman.

Sukar mendapat pengasuh anak
“Memang itu sahaja wak­­tu untuk kami berjumpa kerana faktor jarak dan kos perjalanan dari tempat suami ke sini perlu merentasi negara Brunei Darussalam terlebih dahulu dengan jangka masa lebih kurang sembilan jam.

“Kami berdua pernah membuat permohonan pertukaran sekolah sama ada suami mengikut saya atau sebaliknya sebelum ini, namun belum ada rezeki untuk kami tinggal bersama,” katanya.

Nurul Majidah yang baru sahaja mendirikan rumah tangga tahun lalu, berkata agak sukar untuk mendapatkan pengasuh anaknya ketika beliau menjalankan tugasan harian, disebabkan ramai anak muda tempatan sudah berhijrah ke bandar di samping faktor jarak sekolah yang jauh dengan rumah panjang.

Selain itu, beliau juga ha­­­rus membiasakan diri dengan kemudahan elektrik dan telekomunikasi yang bersifat berkala memandangkan sumber bekalan elektrik adalah bergantung sepenuhnya kepada enjin jana kuasa (genset).

Begitupun, bagi Majidah alah bisa tegal biasa. Setiap cabaran yang dihadapi tidak menjadi penghalang bagi guru muda itu untuk terus menabur bakti di Bumi kenyalang.

Penulis

Oleh Mohd Khairul Anam Md Khairudin - khairul.anam@bh.com.my