Dapur guna tenaga suria

Dapur guna tenaga suria

28 Februari 2013

Kota Kinabalu: Penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencipta kaedah alternatif menggunakan tenaga suria untuk memasak bagi membantu masyarakat pedalaman Negeri di Bawah Bayu itu yang kurang atau tidak mempunyai akses mudah kepada bekalan gas dan elektrik.

Ketua penyelidiknya, Dr Harry Chong, berkata peringkat awal penyelidikannya, beliau mendapati dua jenis dapur suria iaitu jenis kotak dan parabola yang mempunyai kekurangan dan kelebihan masingmasing.

"Jenis kotak direka berdasarkan konsep pemerangkapan haba, kekurangan dapur jenis ini ialah kadar peningkatan suhu yang lambat, namun suhunya kurang dipengaruhi faktor penyejukan pasif oleh angin dan faktor `bayang-bayang' oleh awan yang sentiasa beredar.

"Jenis parabola pula berkonsepkan penumpuan alur cahaya matahari atau dengan lebih tepat penumpuan fluks tenaga suria. Kelebihannya ialah kadar peningkatan haba lebih cepat, namun suhunya tidak stabil kerana terdedah secara langsung kepada pengaruh angin dan awan," katanya ketika ditemui di UMS, barubaru ini.

Kekurangan kedua-dua jenis dapur suria ini memberikan beliau idea untuk menambah baik reka bentuknya dengan penghibridan dapur suria jenis parabola dan kotak menjadi dapur SURIA atau Sabah University Rural Improvement Alternative Cooker.

Murah

Dr Chong berkata, kos pembuatan SURIA Cooker murah kerana ia menggunakan bahan terpakai seperti kotak kayu, kadbod, foil aluminium dan surat khabar.

Katanya, kos membangunkan prototaip SURIA Cooker ialah RM69 dan boleh dikurangkan kepada RM29 jika ia dicipta secara komersial menggunakan bahan kitar semula sepenuhnya.

"Bagaimanapun, penciptaan SURIA Cooker lebih kepada membantu masyarakat luar bandar dan juga pelajar aliran sains dalam memahami tenaga suria sebab itu pemilihan bahan pembuatannya bertemakan bahan kitar semula dan kos rendah.

"Kotak diperbuat dari pada kayu dan papan lapis nipis boleh diambil dari tapak perumahan yang baru siap dibina kerana di situ biasanya banyak, kayu terpakai jenis ini. Panel pemantul bersudut diperbuat daripada kadbod yang dipotong mengikut reka bentuknya dan diselaputi satu lapisan foil aluminium yang lazimnya digunakan untuk membalut makanan," katanya.

Perubahan dilakukan

Mengulas mengenai penambahbaikan dilakukannya Dr Chong berkata, panel parabola telah diubah kepada panel pemantul bersudut bagi memudahkan proses pembuatan, tetapi tanpa menjejaskan kualiti penumpuan fluks tenaga suria.

Katanya, panel itu kemudiannya dimasukkan ke dalam kotak yang penutupnya diperbuat daripada kaca.

"Kaca berfungsi membenarkan fluks tenaga suria memasuki dapur suria dan juga berfungsi sebagai penutup yang tidak membenarkan haba terbebas.

"Panel pemantul bersudut berfungsi memokuskan fluks tenaga suria ke ruangan memasak yang terletak di tengah dapur suria ini dan kotak berfungsi seumpama selimut yang memerangkap dan mengekalkan haba dalam dapur suria," katanya.

Beliau berkata, reka bentuk SURIA Cooker mengatasi kelemahan dapur suria kotak dan parabola kerana panel pemantul bersudut membantu memperlajukan kadar peningkatan haba dan disebabkan ruangan memasak terletak dalam kotak, kestabilan suhunya bebas daripada pengaruh luar.

"Waktu terbaik untuk menggunakan dapur suria ini ialah pada jam 10 pagi hingga 2 petang dan berdasarkan uji kaji yang dijalankan, reka bentuk SURIA Cooker boleh mencapai suhu tambahan sekitar 15 hingga 20 darjah Celsius lebih tinggi berbanding reka bentuk dapur suria jenis kotak yang ada di pasaran.

"Peningkatan ini sudah pastikan akan mempercepatkan tempoh memasak dan juga variasi bahan yang boleh dimasak. Sekiranya mahu dikomersialkan, reka bentuk boleh dikekalkan tetapi lapisan luar dapur suria ini boleh dijadikan kalis air supaya lebih tahan lama," katanya.

INFO

- Boleh memasak telur, udang, ikan, sotong, ayam, daging burger dan nasi. (nasi mengambil masa antara satu hingga dua jam bergantung pada keadaan cuaca semasa).

- Reka bentuknya dimudahkan supaya boleh dibina semula masyarakat luar bandar dan pelajar sekolah.

- Digunakan sebagai alat bantu mengajar untuk subjek sains yang berkaitan tenaga dan alam sekitar.

- Pernah memenangi pingat gangsa dalam Pertandingan REKA cipta 2010 (PEREKA 2010) dan Malaysia Technology Expo 2011 (MTE 2011).

Penulis

Oleh Basir Zahrom