Pertandingan Mural PLUS terus mendapat sambutan

Pertandingan Mural PLUS terus mendapat sambutan

19 March 2013

Kini sudah lebih seminggu Pertandingan Mural PLUS 2013 kembali untuk musim ke-3 penganjurannya dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM120,000 bakal menjadi rebutan sekolah-sekolah menengah di seluruh Malaysia.

Pertandingan Mural anjuran PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia dan Nippon Paint (M) Sdn Bhd bermula pada 5 Mac lalu.

Bagi menyertai pertandingan ini, setiap sekolah hanya perlu menghantarkan satu esei bertajuk "Keselamatan Jalan Raya, Tanggungjawab Kita Bersama" yang tidak melebihi 300 patah perkataan.

Hadiah menarik

Sejumlah 50 esei terbaik akan berpeluang menyertai Pertandingan Mural PLUS 2013. Sebanyak 50 sekolah yang mara ke peringkat akhir ini bukan sahaja berpeluang memenangi hadiah menarik, tetapi setiap sekolah juga akan dibekalkan dengan baucar cat bernilai RM500 oleh Nippon Paint dan bantuan RM2,000 daripada PLUS Malaysia Berhad untuk membeli kelengkapan bagi menyiapkan mural mereka.

Pertandingan Mural PLUS pertama kali dianjurkan pada tahun 2009 dan telah menarik perhatian 250 sekolah menengah di seluruh negara.

Tema pertandingan pada tahun itu ialah "Selamat Di Jalan" dan menyaksikan SMK Dato Haji Mohd Taib, Chemor, Perak memenangi hadiah tempat pertama dengan hanya dua bulan masa yang diberikan untuk menyiapkan mural.

Selepas melihat sambutan yang diterima menggalakkan, PLUS memutuskan untuk menganjurkan Pertandingan Mural ini setiap dua tahun dengan objektif utama untuk meningkatkan kesedaran pelajar mengenai pentingnya menjaga keselamatan jalan raya.

Promosi perpaduan kaum

Selain itu, pertandingan ini turut menjadi saluran untuk mempromosikan perpaduan dan keharmonian kaum yang dimiliki negara ini.

Bagi tahun 2011, tema pertandingan ialah "Rakyat Malaysia Bersatu Untuk Keselamatan Jalan Raya" dan kali ini, SMK Air Putih, Kuantan, Pahang muncul juara dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000 dan untuk tahun ini, tema yang sama akan dipertandingkan.

Bagi melayakkan diri menyertai pertandingan ini, esei yang bertajuk "Keselamatan Jalan Raya, Tanggungjawab Kita Bersama" perlulah dihantar sebelum 26 Mac 2013.

Untuk maklumat lanjut mengenai pertandingan, pihak sekolah boleh berhubung melalui e-mel kepada muralmufors2013@ gmail.com.